Kursus Kahwin Sebagai Persediaan ke Gerbang Perkahwinan
- Tengku Nor Syazana
- Apr 9, 2015
- 2 min read

NILAI,– Sebagai persediaan awal melangkah ke gerbang perkahwinan, seramai lebih kurang 150 orang peserta mengikuti kursus pra-perkahwinan di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 4 yang diadakan selama 2 hari bermula sejak jam 8 pagi, 4 April dan berakhir pada jam 6 petang, 5 April. Kursus ini berjaya memberi gambaran awal tentang naik turun kehidupan berkeluarga serta sebagai salah satu persediaan awal kepada para peserta.
Antara slot yang dijadualkan pada hari pertama kursus termasuklah slot akidah, ibadah, akhlak suami isteri, hubungan keluarga serta perkahwinan dan prosedur. Para peserta diingatkan dan ditekankan dengan kepentingan ilmu agama sebagai salah satu tiang kukuh pembinaan keluarga dalam slot aqidah dan ibadah yang dikendalikan oleh Ustaz Jamal bin Abdul Halim.
Mengikut statistik penceraian di Malaysia, kes yang dilaporkan dari tahun 2010 adalah sebanyak 41, 778 pasangan meningkat kepada 43, 165 pasangan seterusnya sebanyak 47,779 pasangan pada tahun 2012. Kadar peningkatan kes cerai ini sangat membimbangkan semua pihak. Sebagaimana yang sedia maklum,di dalam Islam, penceraian adalah sesuatu perkara halal tetapi Allah sangat membencinya sebagaimana maksud riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, ‘Perbuatan halal yang paling dibenci Allah ialah penceraian’. Justeru, semua pihak risau akan peningkatan kes ini, sehingga Jun 2013, sudah hampir lebih kurang 23,000 pasangan yang dilaporkan bercerai. Maka antara faktor kursus ini diadakan tidak lain tidak bukan sebagai persediaan dan pengukuhan pemahaman kepada peserta tentang kepentingan menjaga kesucian ‘masjid’ yang dibina.
Turut difokuskan juga tentang cara pengurusan masa dan kewangan yang betul dalam sesebuah keluarga ketika slot Pegurusan Masa dan Kewangan yang disampaikan oleh Ustaz Zulzaidi bin Mahmod. “Pengurusan kewangan yang lemah antara punca keretakan rumah tangga, maka kita lihat, pengurusan kewangan bukanlah perkara yang remeh temeh apatah lagi di masa sekarang yang menuntut kepada kewangan yang stabil berikutan kos sara hidup yang meningkat,” ujar Zulzaidi dalam slotnya.
Para penceramah juga turut berkongsi ilmu tentang cara pengurusan stress, komunikasi suami isteri, pengurusan tekanan dan konflik, perkhidmatan rundingcara serta tentang ilmu pembubaran perkahwinan mengikut syariat Islam. Para peserta kelihatan berpuas hati terhadap ilmu yang dikongsikan sepanjang dua hari kursus. Mengakhiri kursus pra-perkahwinan tersebut, kebanyakan ahli panel menyatakan hasrat agar semua peserta mendapatkan kefahaman tentang alam perkahwinan dan menyatakan harapan agar rumah tangga yang bakal dibina berkekalan hingga ke syurga dengan redha Allah.
Comentários