Sambutan Hari Pendidik FPBU Hargai Jasa Pensyarah
- Wan Hanis Lyana
- May 20, 2015
- 2 min read

Antara barisan AJK Nadi Thaqafah yang menjayakan program Sambutan Hari Pendidik
NILAI, 20 MEI 2015- Warga pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) diraikan dalam satu majlis gilang-gemilang iaitu sambutan hari pendidik FPBU yang diadakan pada 20 Mei lalu di Dewan Kuliah Pusat (DKF 2.1) Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) sempena meraikan jasa pensyarah yang tidak pernah jemu mendidik warga mahasiswa USIM.
Bertemakan 'Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak', sambutan yang dirasmikan Dr Noor Azizi Ismail, yang merupakan Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, sajak dan dikir barat daripada pelajar dan para pensyarah.
Dr Noor Azizi Ismail, dalam ucapannya berkata, guru bukan sahaja perlu memberi ilmu kepada pelajar tetapi guru juga berperanan memberi tauladan yang baik kepada para pelajar yang lain. Katanya, peranan guru pada masa kini bukan hanya menyediakan pendidikan tetapi mesti memastikan roh Islam itu hidup di dalam jiwa para pelajar ke arah membentuk generasi yang bukan hanya sekadar Muslim tetapi mukmin.
“Majlis hari pendidik hari ini merupakan hari yang berbahagia kerana para pelajar memberi penghargaan kepada pensyarah yang mendidik mereka selama ini dan memberi pengiktirafan kepada mereka yang menjalankan tugas dengan cemerlang pada tahun ini.”
Bersempena dengan sambutan hari ini, beberapa orang pensyarah diberi beberapa anugerah antaranya Pendidik Peramah, Pendidik Paling Bergaya, Pendidik Paling Rajin, dan Pendidik Paling Sopan. Dr Noor Azizi Ismail diumumkan sebagai pensyarah serba boleh manakala Wan Azura Binti Wan Ahmad menerima anugerah pensyarah paling tegas.
Saudara Aliff Danial, pelajar tahun 2 FPBU yang merupakan pengarah program Sambutan Hari Pendidik, dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah yang bertungkus lumus mendidik warga mahasiswa USIM menjadi insan yang berguna.

Dr Noor Azizi Ismail memberi ucapan perasmian Sambutan Hari Pendidik
“Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua AJK yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik anda semua.”kata beliau dalam ucapannya.
Acara kemuncak majlis ini dengan penyampaian cabutan bertuah kepada hadirin yang hadir memeriahkan majlis hari pendidik.
Comments