Food Product Development (FPD) inovasi Cipta Produk Makanan Baru
- Wan Hanis Lyana
- Jun 4, 2015
- 2 min read

Pelajar Bioteknologi Makanan yang mencipta produk makanan Bueno Burger
Food Product Development merupakan acara tahunan inovasi ciptaan produk makanan yang dianjurkan oleh pelajar tahun dua Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Program ini berlangsung di Pusat Kegiatan Pelajar (PKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 12 Mei lalu.
Objektif Food Product Development (FPD) ini diadakan adalah untuk menyediakan platform kepada para pelajar menunjukkan bakat, kebolehan dan kreativiti dalam mencipta produk makanan baru yang tiada di pasaran.
Menurut peserta Food Product Development (FPD), Syarifah NurFarah Hanani Bt Sayed Alwi, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, setiap produk makanan dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti keunikan, potensi pasaran, persembahan dan kandungan nutrisi.
“Penghasilan produk makanan baru ini bagi menenuhi silibus kursus Bioteknologi Makanan di samping untuk mencungkil daya kreativiti pelajar untuk menghasilkan produk makanan yang ada potensi untuk dikomersialkan.”
“Kumpulan kami membuat produk Bueno Burger, iaitu burger ayam yang diperbuat daripada campuran pisang, kulit pisang, ayam, daging, dan rempah ratus. Kami memilih pisang sebagai bahan utama kerana ia mempunyai kandungan serat yang tinggi yang membantu menurunkan kandungan glukosa dan kolestrol di samping dapat memperbaiki sistem penghadaman.” Kata beliau ketika ditemuramah.
Tambah ahli kumpulan yang lain, Raja Aminatul Jazilah Bt Raja Amin, juga peserta Food Product Development (FPD), mereka juga memasuki pertandingan I-Reka yang diadakan baru-baru ini di Dewan Besar USIM dengan menggunakan produk yang sama.
“Alhamdulillah kami bersyukur dapat menyertai pertandingan ini. Walaupun tidak menang,ia tidak melemahkan semangat kerana kami yakin terhadap keistimewaan produk kami.”katanya.
Prof Madya Dr Norita Md. Norwawi, Timbalan Dekan FST, ketika majlis penutup Food Product Development (FPD), dalam ucapannya berkata, produk yang dihasilkan oleh USIM dapat memberi impak yang besar kepada pengguna, khususnya masyarakat Islam.
“Produk yang dihasilkan oleh USIM mampu pergi lebih jauh dan memberi sumbangan kepada masyarakat untuk mendapatkan makanan yang halal dan berkhasiat.” Kata beliau.

Proses pembuatan Bueno Burger
Kommentare