Cegah obesiti melalui rutin harian
- Tg Nor Syazana
- Apr 27, 2015
- 1 min read

Obesiti adalah salah satu penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases, NCD) namun ianya sangat membimbangkan banyak pihak berikutan peningkatannya dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) , dianggarkan sebanyak ¾ daripada jumlah kematian di negara yang sedang membangun menjelang 2020 adalah disebabkan penyakit tidak berjangkit, salah satunya iaitu obesiti.
Menurut pakar pediatrik dan nutrisi, Dr Nataniel Viuniski berkata, kanak-kanak tidak sepatutnya disekat daripada mengambil makanan kegemaran mereka seperti coklat tapi perlu dikawal dari segi kuantitinya. Tidak salah untuk mengambil makanan berlemak seperti coklat kerana tidak dinafikan ianya mempunyai khasiat tersendiri namun, berlebihan dalam pengambilannya membawa kepada risiko penyakit lain.
Walaupun majoriti mereka yang mengalami obesiti bermula seawal umur 24 tahun, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mempunyai risiko menghidap penyakit ini. Ibu bapa harus memastikan pengambilan sayur-sayuran dan buah- buahan serta senaman yang teratur sentiasa dilakukan. Antara senaman yang mudah dilakukan disamping tidak mengeluarkan kos yang tinggi adalah dengan berbasikal dan ber’joging’ .
Namun, ada segelintir ibu bapa yang merungut perihal anak-anak mereka yang tidak gemar untuk mengambil sayur-sayuran lantas memberi kebebasan kepada anak-anak untuk makan apa sahaja yang mereka gemar. Hal ini perlu diselesaikan oleh para ibu bapa dengan mencari cara yang kreatif bagi menimbulkan minat kepada anak-anak untuk mengambil makanan yang kurang lemak, berkhasiat dan membekalkan tenaga.
Islam juga sangat mementingkan pemilihan makanan yang berkhasiat dan tidak memudaratkan sebagaimana dirakamkan dalam surah Al-Baqarah ayat 168, "Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik". Justeru, kita haruslah bijak dalam memilih makanan yang memberi faedah kepada kesihatan diri.
Yorumlar