Banteras gejala lumba haram untuk keamanan sejagat
- Wan Hanis Lyana Wan Zahari
- May 9, 2015
- 2 min read

(Gambar hiasan)
Gejala lumba haram yang berleluasa menjadi sesuatu yang membimbangkan masyarakat. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa diri sendiri malah ia melibatkan nyawa orang lain yang turut menggunakan jalan raya tersebut. Di negara kita, menonton perlumbaan haram juga adalah satu kesalahan kerana akan menggalakkan pelumba haram untuk terus berlumba tanpa mengambil kira faktor keselamatan.
Menurut pandangan Islam, hukum lumba haram seperti yang dibincangkan oleh Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 25 April 2010, membuat keputusan bersetuju menfatwakan bahawa hukum perlakuan Mat Rempit adalah haram disebabkan faktor boleh membahayakan diri sendiri. Kedua, menyebabkan berlaku bahaya kepada pengguna jalan raya, dan ketiga, boleh melanggar hak-hak pengguna jalan raya. Perbuatan lumba haram boleh mendorong berlakunya perbuatan jenayah lain kerana kebanyakan mereka berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Terdapat pelbagai kesan yang boleh berlaku akibat daripada kegiatan lumba haram ini. Contohnya, kemalangan yang menimpa seorang anggota polis trafik sewaktu membuat serbuan ke atas mat rempit. Mangsa cacat penglihatan sepanjang hayat kerana dilanggar oleh pelumba haram (Berita Harian, 2005).
Terbaru, kejadian lumba kereta haram yang melibatkan enam buah kereta Perodua Myvi yang meragut pasangan suami isteri dan bayi mereka di Lebuhraya DUKE Sabtu lalu. Tambahan pula video tangisan anak mereka yang diviralkan di media massa menambahkan lagi rasa simpati rakyat Malaysia ke atas nasib yang menimpa dua orang kanak-kanak yang menjadi yatim piatu disebabkan kejadian yang tidak bermoral itu.
Kerajaan perlu menggubal undang-undang yang lebih ketat seperti menggantung lesen mereka, mengenakan hukuman penjara dan membuat rampasan motor dan kereta yang terlibat dalam gejala lumba haram boleh dijadikan inisiatif untuk memberi pengajaran kepada mereka.
Kedua, mengetatkan prosedur pembelian motosikal mampu mengurangkan gejala lumba haram. Remaja di bawah umur tidak dibenarkan membeli motosikal jika tidak mempunyai lesen.
Satu lagi faktor yang menarik minat remaja dan para belia untuk menyertai aktiviti perlumbaan haram ini adalah lambakan filem-filem yang berunsur rempit dan budaya bebas di pawagam. Oleh itu, kerajaan harus menapis filem yang sesuai ditonton oleh remaja kerana ia boleh memberi impak yang besar kepada belia.
Slogan ‘Pandu Cermat Jiwa Selamat’ hanya menjadi satu slogan sekiranya aspek keselamatan tidak diutamakan di jalan raya. Dengan mengetahui tanggungjawab kita sebagai seorang remaja, negara kita dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekaligus meminimumkan statistik lumba haram di negara kita.
Comments